PELANCARAN BULAN BAHASA

Majlis Pelancaran Bulan Bahasa telah diadakan pada pagi ini di dataran perhimpunan SK Cherana Puteh. Majlis diadakan secara ringkas tetapi penuh bermakna. Majlis dimulakan dengan nyayian lagu 'Negaraku', 'Melaka Maju Jaya' Dan lagu sekolah.
Majlis pelancaran minggu bahasa ini telah disempurnakan oleh Puan Guru Besar, Pn. Rumayah bt Hj. Samsuri.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan deklamasi sajak oleh Adik Nasuha bt Shakari dan bercerita oleh adik Fauzan bt Shamsol. Di samping itu, murid-murid tahun 6 turut menyampaikan persembahan koir yang bertajuk 'Bahasa Jiwa Bangsa'

Latihan Dalam Perkhidmatan Kali Ke-3

Latihan Dalam Perkhidmatan Kali Ke-3 telah diadakan pada hari ini. Latihan diadakan di makmal komputer SK Cherana Puteh. Tajuk LADAP Kali ini ialah "Halal Dan Haram Dalam Perkhidmatan Serta Mengatasi Stress". Tajuk tersebuat telah disampaikan oleh penceramah jemputan dari Kolej Komuniti Bukit Baru ialah En. Ramlee bin Yahya . En. Shamsudin bin Othman dari PPD Alor Gajah turut hadir membuat pemantauan terhadap proses perjalanan LADAP tersebut.









PROGRAM RIMUP 1/2009 -

MERENTAS DESA

SJK(C) Taboh Naning dan SK Cherana Puteh telah menganjurkan program RIMUP kali pertama bagi tahun 2009. SJK (C) Taboh Naning menjadi tuan rumah bagi acara merentas desa ini.
Acara merentas desa ini disertai oleh murid tahap 1 dan 2 bagi kedua-dua buah sekolah. Para peserta telah dilepaskan oleh Pengerusi PIBG SJK (C) Taboh Naning.

Peperiksaan Penggal Pertama

Tarikh : 19 Mei Hingga 22 Mei 2009
Hari : Selasa - Jumaat

Peperiksaan ini melibatkan semua murid dari tahun 1 hingga 6. Bagi murid-murid tahun 6, soalan peperiksaan disediakan oleh Jabatan Pelajaran Melaka. Semua murid bersedia untuk menghadapi Peperiksaan ini.
Selamat Berjaya !!

Sambutan Hari Guru

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah telah diadakan pada hari ini, 18 Mei 2009. Sambutan kali ini dimulakan dengan perhimpunan khas. Dalam perhimpunan tersebut, GPK 1 telah membaca perutusan daripada Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran oleh GPK HEM. Kemudiannya diikuti dengan ikrar guru , nyayian lagu 'Guru Malaysia' serta Lagu tema hari guru tahun 2009.

Sambutan diadakan secara sederhana tetapi tetap meriah. Acara sukaneka telah diatur untuk memberi peluang kepada guru-guru menunjukkan bakat sukan masing-masing.

Warga sekolah mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat hari guru kepada semua warga bergelar guru.

"GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"


GPK 1 membacakan perutusan daripada Menteri Pelajaran


Murid-murid mendengar ucapan serta pembacaan perutusan


Guru-guru bersedia untuk melafazkan ikrar


Warga pendidik SK Cherana Puteh

Khas Buat Guru

'Guru Oh Guru'

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat 'cikgu' kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Nukilan SN Usman Awang (kini allahyarham, semoga Allah SWT memberkatinya).

Cuti Pertengahan Penggal Pertama.

Semua murid akan bercuti dari 14 Mac 2009 hingga 22 Mac 2009. Pihak sekolah mengucapkan selamat bercuti dan semoga berjaya kepada guru-guru yang bakal menduduki PTK pada 18 dan 19 Mac 2009.

Latihan Dalam Perkhidmatan

Pada 14 Mac 2009 semua guru menghadiri latihan dalam perkhidmatan siri 1/2009 mengikut arahan dalam takwim JPMelaka untuk semua sekolah di negeri ini. Latihan dijalankan di Makmal Komputer SK Cherana Puteh. Antara pengisian latihan adalah Eduweb TV, Q-net dan Pengurusan Panitia. Latihan ini telah dipantau oleh wakil PPD daerah Alor Gajah iaitu En. Jonit bin Marsin.

UJIAN PENGESANAN 1 (2009)


Tarikh : 24-26 Februari 2009
Hari : Selasa - Khamis

Ujian Pengesanan 1 ini melibatkan semua murid dari tahun 1 hingga 6. Diharapkan semua murid bersedia untuk menghadapi ujian ini.
Selamat Berjaya !!

KEJOHANAN OLAHRAGA KE-34



Kejohanan Olahraga Ke-34 MSSM Kawasan Alor Gajah telah diadakan di Stadium Hang Jebat pada 17 hingga 19 Februari lalu.
Kejohanan ini merupakan satu pendedahan kepada para peserta kerana mereka berpeluang beraksi di Stadium sebenar dan bukannya di padang sekolah.
Sekalung tahniah diucapkan kepada adik Mohd Hafizzie b. Mohd. Shukor kerana berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara lompat jauh kategori bawah 10 tahun.

MOTIVASI KEIBUBAPAAN ~ Murid Tahun 6

Tarikh : 6 Februari 2009 (Jumaat)
Tempat : Makmal Komputer SKCP
Penceramah : En. Roslan b Mustaffa (Kaunselor SMT DS Mohd Zin)

Matlamat program:
-Mewujudkan kerjasama antara ibu bapa dan guru demi mencapai kejayaan anak-anak.
-Berkongsi idea antara ibu bapa dengan guru terhadap aktiviti kecemerlangan yang lebih berkesan.

Objektif program:
-Memberi kesedaran bahawa kejayaan anak-anak adalah tanggungjawab bersama.
-Meningkatkan pemcapaian UPSR hasil paduan usaha perkongsian bersama antara ibu bapa, guru dan murid.




PEMANTAUAN BERKELOMPOK

Pada 3 Februari yang lalu (Selasa) Seramai 12 orang pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah Alor Gajah telah membuat pemantauan di sekolah ini. Pemantauan ini diketuai oleh Penolong Pegawai Pelajaran Daerah iaitu En. Zorkarnini bin A. Ghani.
Menurut En. Zorkarnini, pemantauan ini merupakan rutin bagi PPD dan mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka. Menurut beliau lagi, pihak PPD terpaksa membuat pemantauan sekurang-kurangnya empat buat sekolah dalam tempoh masa sebulan. Menurut En. Zorkarnini lagi, SK Cherana Puteh merupakan sekolah ketiga yang telah turut menerima kunjungan dari PPD Alor Gajah membuat masa ini.
Antara pegawai-pegawai yang hadir ialah :
1. En. Mohamad bin Mohd Idris
2. Tn. Hj Mohd Arshad bin Othman
3. Tn. Hj Zahiran bin Yahaya
4. Tn. Hj Inshaary bin Ahmad
5. En. Hanafiah bin Othman
6. En. Harun bin Bakri
7. En. Jonit bin Marsin
8. En. Nezam bin Md Deris
9. Tn. Hj. Isa bin Bidin
10. En. Mad Nor bin Hj Omar
11. En. Zaharin bin Datuk Hj Long

WATIKAH PERLANTIKAN

Pada 19 Januari yang lepas, SK Cherana Puteh telah mengadakan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan kepada pengawas sekolah, pustakawan, pengawas SPBT dan ketua darjah.
Majlis penyerahan watikah ini telah disempurnakan oleh Ketua Balai Polis Simpang Empat iaitu Sarjan Mejar Rossali bin Osman.





PROGRAM RAMAH MESRA

Jumaat- 3.00 petang, pihak sekolah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) telah mengadakan Program Ramah Mesra dengan keluarga murid orang asli. Program ini diadakan di Perkampungan Orang Asli Bukit Payung.

Majlis ini dihadiri oleh beberapa orang pegawai dari JHEOA, guru-guru, pemimpin masyarakat orang asli iaitu Tok Jenang (En. Chaching bin Bata) dan Tok Jekerang (En. Bujang bin Manja) serta ibu bapa murid orang asli.

Objektif utama program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab tentang pentingnya ilmu di samping mengeratkan lagi hubungan pihak sekolah dengan ibu bapa murid orang asli serta JHEOA.

Dalam Ucapaan yang disampaikan oleh Pn. Suzilla bt Baki (Pegawai JHEOA Daerah Alor Gajah/Jasin), beliau menyeru agar ibu bapa masyarakat orang asli memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan hingga ke sekolah menengah. Ini kerana buat masa sekarang, anak-anak mereka hanya berpendidikan hingga darjah enam sahaja.

Sementara itu pula, Pn. Hjh Misyah bt Ahmad (Guru Besar SK Cherana Puteh) dalam ucapan beliau meminta agar ibu bapa murid orang asli menitik beratkan tentang kehadiran anak-anak. Ini kerana kehadiran murid-murid orang asli amat tidak menggalakkan. keadaan ini menyebabkan mereka setiasa ketinggalan dalam pelajaran. Ibu bapa juga diminta untuk membantu anak-anak dalam pelajaran ketika berada di rumah agar mereka tidak ketinggalan berbandingan dengan rakan-rakan mereka yang lain di sekolah ini.

Di dalam majlis ini juga, JHEOA telah menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah kepada 61 orang murid orang asli sekolah ini.
Suasana perkampungan orang asli Bukit Payung

Tempat Majlis berlangsung : Balairaya Bukit PayungTok Jenang dan Tok JekerangGuru-guru SKCP yang turut hadir
Ucapan Guru Besar SKCPUcapan daripada Pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli
Sesi penyerahan bantuan pakaian